إلهي أنت مقصودي ورضاك مطلوبي

أعطنى محبتك ورحمتك ولا حول ولا قوة إلا بالله

Tuesday, December 15, 2009

Berzikir SAmbil Bernari

Artikel ni diambil daripada Harakah Bil.1463 | 19-22 Syaaban 1430 | 10-13 Ogos 2009 | Sisipan Fikrah di Kolum “Bersama Dato’ dr Harun Din”

SOALAN : Selesai satu ceramah di masjid kami dalam isu zikrullah, ada seorang bertanya penceramah. Bolehkah majlis zikrullah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menari-nari macam berkhayal-khayalan seperti yang pernah dilakukan oleh sesetengah golongan tarekat sufi. Penceramah tersebut secara spontan menjawab : “Rasa saya itu adalah haram. Mana boleh zikrullah yang begitu murni dicampurkan dengan tarian. Tarian itu haram.” Kami jadi keliru. Minta pandangan Dato’. Terima kasih. ; Jemaah Ragu, Sepang.

- – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - – - -

JAWAPAN : Setiap soalan memang ada jawapan. Jawapan itu pula bergantung kepada pengetahuan yang ada pada penjawabnya.
Kadang-kadang ada yang mengikut rasa, seperti soalan anda di atas, penjawab itu menjawab rasanya tak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.
Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.

Berkenaan dengan zikrullah, Allah berfirman (mafhumnya) :

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(Iaitu) Orang-orang oang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” (Surah Ali Imran, ayat 191)

Ayat ini memberi isyarat kepada zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya. Ummul Mukminin Aisyah pernah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan macam-macam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w.
Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib (sepupu Rasulullah) menari-nari melenggok-lentuk di hadapan Rasulullah s.a.w sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah menyebut kepada beliau “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku”. Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di hadapan Rasulullah. Tingkah laku beliau itu atau body language beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah.
Di sinilah dikatakan atau dijadikan sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah ada sandarannya.
Sahlah  berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzudin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.
Ditanya Sheikul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.
Ditanya al-‘Allamah Burhanuddin al-Abnasi perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.
Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semua menjawab “tidak mengapa dan boleh dilakukan”.

Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat di Surah Ali Imran di atas beserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib.
Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang syahwat dan lain-lain.
Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan.
Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).
Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahui, merupakan anugerah Allah kepada mereka.
Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah s.w.t
Inilah yang disebut dalam al-Quran (mafhumnya) :
“(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah”. ketahuilah Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah suatu yang boleh dita’birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.
Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi ini adalah harus.
Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil.Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fikah bahawa “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”
Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah s.a.w dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram. Wallahua’lam

1 comment:

  1. salam.. sy bsetuju jika dkatakn harus pd 'tarian dlm zikir' tu, cme sy minta tuan tlg lbh jelaskn dr mna datangnya sumber2 hadith yg tuan petik utk hujah di atas.
    bkenaan tarian dlm zikir tsebut, jika lbh dperincikn bntuk tarian adalah lbh baik sprti yg diamalkn ar-rasul s.a.w. pkataan 'tarian' smata2 mberi mksud yg tlalu general @ umum, malah ia blh dsalah-ertikan golongn yg ta'sub dgn tarikat masing2.sy minta pihak tuan perincikn sbagaimana sunnah ar-rasul s.a.w lakukn, moga yg jahil mmpu memahami dgn jelas. smoga sunnah terus dmartabatkn

    ReplyDelete